Bila tibanya Hari Raya maka 'tidak sah' kalau orang sebelah utara tanahair menyambut raya tanpa ketupat daun palas sebagai sajian utama mereka. Tapi itu dulu, kerana kini banyak rumah yang saya kunjungi sewaktu Hari Lebaran tempohari, tanpa hidangan tersebut sebagai hidangan utama mereka kini.
Banyak yang telah bertukar ke hidangan lemang atau ketupat segera sahaja kini. Lemang boleh dibeli di gerai-gerai yang banyak tumbuh bagai cendawan selepas hujan sewaktu musim raya kini, begitu jua ketupat nasi segera yang boleh dibeli di kedai-kedai runcit sahaja.
Tradisi membalut ketupat daun palas sudah lama menjadi keutamaan saya sekeluarga apabila Syawal menjelang. Baik beraya di kampung sendiri di Jengka, Pahang mahupun pulang beraya di Alor Setar, Kedah keluarga mertua saya.
Punca utama kurangnya ketupat daun palas ini menjadi hidangan utama lagi di meja-meja makan, sama ada di utara tanahair atau mereka yang berasal dari sana dan merantau ke negeri-negeri lain kerana kurangnya kemahiran membalut ketupat tersebut.
Ini terbukti apabila dalam generasi keluarga saya sendiri yang telah berhijrah ke Pahang selama lebih 40 tahun, dari 8 beradik antara kami hanya 3 orang sahaja yang masih meneruskan tradisi membalut ketupat daun palas.
Alhamdulillah, saya antara anak-anak Mak yang masih mewarisi cara membalut ketupat daun palas ini, secantik balutan Mak saya. Mak kini yang mengidap ghout, sudah tidak mampu lagi membalut ketupat seperti dahulu.
Faktor kedua yang menjadi kurangnya kelihatan ketupat daun palas ini, adalah sukarnya mendapat daun palas itu sendiri di pasaran. Ianya hanya boleh didapati dikawasan-kawasan luar bandar sahaja, itupun tumbuh meliar di hutan-hutan.
Itu antara punca utama menjadikan orang sudah tidak berminat lagi membuat ketupat daun palas sebagai juadah utama di Hari Raya dan saya risau ianya akan semakin dilupakan dan pasti menjadi satu makanan yang eksotik dan ekslusif sahaja suatu hari nanti.
0 Komen:
Catat Ulasan