Apa itu jerebu?
Jerebu muncul disebabkan zarah halus di udara. Dalam konsentrasi tinggi, zarah-zarah ini akan bertaburan serta menyerap cahaya matahari menyebabkan jarak penglihatan menjadi kurang hingga berlakunya seolah-olah alam sekeliling menjadi redup.
Kejadian jerebu bukan hanya boleh berlaku di kawasan bandar sahaja, malah boleh wujud di kawasan pedalaman. Zarah-zarah itu datang dari pelbagai sumber termasuk yang wujud secara semula jadi dan yang 'antropogenik' (muncul kerana proses tindak balas).
❝ Kebanyakan daripada zarah-zarah ini terbit hasil daripada kegiatan yang dilakukan manusia seperti pembakaran terbuka bagi tujuan penanaman, pembukaan tanah hutan, penggunaan kenderaan serta pembakaran bahan api dalam industri, menurut Amin Iskandar, seorang pensyarah dan warga penjagaan alam sekitar. BERNAMA
Pembentukan jerebu
Pada satu-satu masa dalam setahun terutama semasa musim Monsun Barat Daya, pergerakan udara secara menegak akan berkurangan. Pengurangan berat udara ini tidak merangsang pembentukan awan secara aktif lalu menyebabkan cuaca menjadi kering.
Terdapat juga beberapa faktor yang memanjangkan musim panas dan terdapatnya banyak pencemar udara merupakan suasana sesuai bagi pembentukan jerebu. Zarah-zarah yang muncul di atmosfera akan terperangkap dalam udara yang tidak bergerak menyebabkan kumpulan partikel ini menjadi mendap dan akan membentuk jerebu.
Bagaimana menghilangkan jerebu?
Zarah-zarah dalam udara boleh dihilangkan melalui beberapa proses, salah satunya adalah dengan cara melalui mekanisme 'turbulence' di mana zarah jerebu ditiup kuat ke lapisan lebih tinggi dalam atmosfera.
Tarikan graviti akan membuat zarah-zarah yang lebih berat jatuh ke bumi manakala zarah yang lebih ringan boleh dihilangkan melalui 'rainout' atau kondensasi wap air lalu membentuk titisan air sehingga membentuk awan.
Zarah-zarah ini juga boleh dihilangkan melalui proses penyatuan dengan titisan hujan semasa berlakunya hujan dan dinamakan 'washout'. Kejadian hujan lebat serta ribut petir adalah lebih berkesan, manakala hujan yang sekejap dan tidak lebat adalah kurang cekap dalam menghilangkan jerebu.
0 Komen:
Catat Ulasan