Kronologi Tragedi Perang Lahad Datu 1-3-13 (Video)

Mungkin ada yang tertanya-tanya apa punca sebenarnya dari mula sehingga berlakunya pertempuran di Lahad Datu pada 1-3-13, Jumaat lepas. Sesuatu yang perlu kita ambil tahu sebagai seorang warganegara yang prihatin tentang kedaulatan negara kita tercinta. Berikut adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina:
 

Pada 9 Februari - Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
   
Pada 11 Februari - Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
   
Pada 12 Februari - Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.
   
Pada 14 Februari - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
   
14 Februari - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.
   
Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal. Ismail berkata rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan darah.
   
14 Februari - Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.
       
Pada 16 Februari - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.
   
Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.
   
Pada 18 Februari - Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
   
Pada 24 Februari - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
   
Pada 26 Februari - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
   
Pada 28 Februari - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.
   
Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.


1 Mac - Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.

Sumber:  Bernama



Posted by: Zulkbo zulkboCom Zulkbo Blog Updated at : Sabtu, Mac 02, 2013

4 Komen:

  1. dah terang2 mereka menceroboh kedaulatan tanah air kita. janganlah kita berlembut sangat

    BalasPadam
  2. Sama-sama berdoa supaya pahlawan negara dalam rahmat allah.

    BalasPadam
  3. semoga negara kembali aman...

    BalasPadam
  4. banyak pihak nak hentam satu sama lain saya masih xjelas keadaan di negara ini mefitnah antara satu sama lain.. Kenapa tidak bersatu sesama sendiri ? kerana ego atau ada agenda lain dari pihak tertentu.. Bercerai akan roboh bersatu akan teguh.. Semoga Allah membuka ruang2 pada pihak kerajaan ,pembangkang dan penyokong2 untuk bersatu bkn mempecahkan belah antara satu sama lain tentu ada pihak lain akan untung..

    BalasPadam