Bila Parlimen, DUN Terbubar Otomatik Apa Yang Dikatakan Kerajaan Sementara (Caretaker Government)?



Pertama kali dalam sejarah negara kita sejak merdeka, Dewan Undangan Negeri terbubar secara otomatik. DUN Negeri Sembilan tamat pada hari Rabu, 27 Mac 2013. Untuk tempoh sehingga 60 hari yang akan datang, Negeri Sembilan bakal diperintah secara kerajaan sementara ataupun 'caretaker government'. Begitu juga negeri-negeri yang lain sekiranya Parlimen masih belum dibubarkan sehingga tarikh akhir 28 April 2013.

Setelah menang pada PRU-12 lepas, DUN Negeri Sembilan telah mengangkat sumpah pada 27 Mac 2008, dan kerajaan negeri terbubar dengan secara otomatik pada hari Rabu, 27 Mac 2013 dan mulai hari Khamis, 28 Mac 2013, kerajaan Negeri Sembilan diperintah secara kerajaan sementara. Tarikh akhir untuk mengadakan pilihan raya bagi Negeri Sembilan ialah 27 Mei 2013.

Apa itu kerajaan sementara?

Kerajaan sementara adalah satu bentuk kerajaan yang memiliki kuasa untuk memerintah secara sementara dan tempoh pemerintahan itu amat pendek, ada yang sehingga 60 hari seperti di Malaysia dan ada yang sehingga 120 hari sahaja seperti di Bangladesh. Mekanisma pembentukan kerajaan sementara itu ada pelbagai. Di Malaysia, apabila mandat 5 tahun memerintah kerajaan pilihan rakyat luput maka kerajaan yang ada akan secara otomatik bertukar status menjadi kerajaan sementara. Status Perdana Menterinya (Menteri Besar) juga menjadi Perdana Menteri Sementara dan begitu jugalah menteri-menteri kabinet (Ahli Undangan Negeri) yang lain.  Semua ahli parlimen sudah tidak lagi berstatus ahli parlimen dan tidak lagi dibayar gaji dan apa-apa elaun berkaitan dengan tugas mereka sebagai ahli parlimen. Inilah amalan yang lumrah di kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Sistem di Malaysia ini bolehlah digelarkan sebagai 'party-based caretaker government'. 

 
FOTO

Apa peranan kerajaan sementara? 

Dari sudut perundangan kerana berdasarkan pengalaman dan amalan, kuasa kerajaan sementara adalah terhad dan dalam kontek negara kita, perkara-perkara berikut perlu diperhatikan oleh 'outgoing government' yang sekarang berstatus kerajaan sementara:

  1. Kerajaan sementara hendaklah mengelakkan diri dari menggunakan sumber awam (public resources) di dalam kempen politik parti. Dalam tempoh itu, menteri-menteri dan ahli rombongan mereka tidak boleh menggunakan sumber dan harta awam (kerajaan) seperti kenderaan milik kerajaan (kereta, bas, kapal terbang dan sebagainya) semasa berkempen. Begitu jugalah penggunaan bangunan-bangunan kerajaan, alat media milik kerajaan dan penggunaan khidmat polis dan tentera untuk merisik maklumat dari pihak parti lawan untuk manfaat 'outgoing government'.
  2. Wakil rakyat kerajaan sementara tidak ada lagi hak ke atas apa juga pembayaran kewangan daripada kerajaan. Sebaik sahaja parlimen dan DUN dibubarkan, maka ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri tidak lagi berhak dibayar gaji, elaun dan membuat apa-apa jua tuntutan kewangan berkaitan dengan kempen pilihanraya dari kerajaan. Kerajaan sementara hendaklah menggunakan sumber sendiri, bukan wang pembayar cukai, untuk membiayai kos kempen pilihan raya. 
  3. Kerajaan sementara tidak boleh membuat apa-apa jua keputusan besar negara. Kerajaan sementara hendaklah mengelakkan diri dari membuat keputusan yang bersifat dasar atau membuat komitmen jangka panjang yang boleh memerangkap kerajaan baru (jika berlainan dari kerajaan yang ada) untuk mewarisinya walaupun komitmen ini merugi dan membebankan rakyat dan negara. Jangan juga membuat pengumuman polisi besar di saat akhir kerana ini memberi manfaat secara tidak adil kerana ini adalah tindakan 'vote buying'. 
  4. Kerajaan sementara tidak boleh membuat perlantikan-perlantikan penting di dalam kerajaan. Dalam tempoh kerajaan sementara, kerajaan tidak boleh membuat perlantikan baru jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam. Kalau ada perlantikan baru, ia hendaklah ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya. Dalam keadaan terdesak, bolehlah melantik pemangku-pemangku jawatan.
  5. Kerajaan sementara tidak boleh menandatangani kontrak-kontrak besar atau membuat apa-apa 'undertaking'.  Ini adalah kerana sekiranya berlaku perubahan kerajaan dari 'kerajaan lepas' kepada 'kerajaan baru',  tidak adil bagi kerajaan baru dijebak dalam mewarisi kontrak-kontrak, komitmen dan 'undertaking' yang pada penilaiannya merugikan rakyat dan negara.
  6. Kerajaan sementara tidak boleh membuat apa-apa perundingan antarabangsa atau lawatan ke luar negara. Setidak-tidaknya, kerajaan sementara hendaklah menunda rundingan antarabangsa sehingga selepas pilihanraya dan kerajaan pilihan rakyat yang baru dibentuk.
  7. Kerajaan sementara tidak boleh melibatkan perkhidmatan awam dan penjawat awam di dalam kempen pilihanraya. Dalam tempoh kerajaan sementara, perkhidmatan awam harus mengambil susuk 'tidak memihak' mana-mana parti. Tugas perkhidmatan awam dan penjawat awam adalah untuk berkhidmat kepada seluruh ahli masyarakat, bukan berkhidmat untuk parti yang berkuasa.  Oleh itu, penjawat awam jangan terlibat dalam kempen mana-mana parti politik. SUMBER


Posted by: Zulkbo zulkboCom Zulkbo Blog Updated at : Jumaat, Mac 29, 2013

6 Komen:

  1. info yang bagus bro, dah tak lama lagi dah...

    BalasPadam
  2. Pertama kali berlaku DUN negeri bubar sendirinya. Pengalaman pertama kerajaan sementara memerintah. Harap pentadbiran berjalan dengan lancar.

    BalasPadam
  3. Semoga pru13 berjln dwngan lancar.. terbaik info ni bro.

    BalasPadam
  4. memang akan ada kerajaan sementara. info yang bagus bagi mereka yang tidak tahu.

    BalasPadam
  5. bertambah tak sabar nak mengundi ni

    BalasPadam
  6. hoho..semua tak sabar nak mengundi nampaknya..

    BalasPadam