Amalan Berpuasa Bermula Seawal Usia






IBADAH puasa Ramadan adalah salah satu tunjang utama Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan menunaikannya termasuk golongan anak kecil. Ulama  berpandangan walaupun kanak-kanak belum diwajibkan melaksanakan syariat, ibadah puasa dilakukan dianggap sebagai satu bentuk latihan.

Pernyataan ini jelas memberi isyarat ibadah puasa perlu dididik dan dilatih kepada anak kecil. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak seawal usia empat atau lima tahun belajar menghayati kelebihan berpuasa pada Ramadan.

Latihan menahan nafsu makan dan minum pada siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran besar impaknya apabila anak meningkat dewasa kelak.

Mereka tidak akan berasa canggung untuk melaksanakan bukan saja amalan berpuasa juga ibadah fardu lain seperti bersolat, zakat dan sebagainya. Jiwa mereka terdidik untuk memperbanyakkan ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia soleh dan solehah.

Untuk melatih anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingkat. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari, sekadar beberapa jam atau hanya beberapa hari sepanjang Ramadan.

Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan sebagai elemen penggalak mereka berpuasa. Contohnya, menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah, atau duit raya jika berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.

 Ibu bapa boleh menceritakan kepada anak kewajipan berpuasa daripada konteks agama dan faedah dari sudut kesihatan supaya mereka faham bahawa berpuasa amalan yang besar kesan positifnya. Anak perlu dilatih rukun dan pantang larang berpuasa supaya bijak memelihara kesempurnaan puasa.

Pada Ramadan ini, mereka boleh diajak untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau masjid dan bertadarus al-Quran bersama-sama. Anak boleh diasuh mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat dengan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah serta bersedekah.

Minda dan pemikiran anak perlu juga dididik supaya tidak mentafsirkan Ramadan sinonim dengan pesta bunga api dan mercun. Hindarkan mereka daripada terjebak sindrom negatif yang bukan saja membazirkan wang, malah turut membahayakan nyawa.

Anak juga tidak seharusnya dibiarkan leka menonton televisyen, bermain permainan komputer atau membuat aktiviti tidak berfaedah. Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambah amal ibadah yang dijanjikan ganjaran besar oleh Allah.

Jika kaedah disarankan ini dapat dipraktikkan kepada anak sepanjang Ramadan, diyakini mereka akan menjadi umat Islam yang diredai-Nya dan menjadi insan sempurna akhlak dan tata susila.

Didikan agama yang mantap sejak usia kecil seperti ini dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personaliti anak apabila usia mereka menjangkau dewasa umpama bidalan melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Sumber: epondok



Posted by: Zulkbo zulkboCom Zulkbo Blog Updated at : Ahad, Ogos 07, 2011

5 Komen:

  1. Salam sahabat,
    Great article.Semuga Allah memberi ganjaran yang baik buat sahabat dan keluarga.

    Selamat berpuasa.

    Umi

    BalasPadam
  2. bebudak sekarang nampaknya lebih kuat dan bersemangat kalo diajak belajo berpuasa, darjah satu pon ada yang khatam posa

    BalasPadam
  3. Terima kasih berkongsi info yang menarik.

    BalasPadam
  4. Al Hamdulillah anak2 kome bermula usia 5 tahun dah mula berpuasa dan tamat semuanya, tanpa dipaksa atau dijanjikan imbuhan jika tamat berpuasa

    BalasPadam
  5. Assalam...
    Terima kasih atas info tersebut.
    Anak saya baru nak masuk 4 tahun, belum di ajar lagi utk berpuasa. Tapi keinginannya memang ada. Harap2 tahun depan dapat puasa penuh...

    BalasPadam